Monday, December 10, 2012

Rumah Usang 1





Dingin malam yang sunyi ditemani hembusan angin yang menghembus perlahan bagaikan teman yang rapat kepada aku. Asyik aku dengan dunia digital ini tatkala aku cuba untuk meneruskan hidup aku di dunia khayalan dengan mendengar lagu-lagu indah hasil karya agung si pencipta lagu. Aku bagaikan berada di dunia yang lain, dengan mimpi-mimpiku bagaikan direalisasikan oleh khayalan yang dicipta oleh mindaku.



Tatkala aku asyik dengan lamunanku, pandanganku dilempar jauh ke sekeliling. Tatkala itu juga aku sedar bahawa aku sendirian di rumah usang bertemankan tilam, bantal, dan selimutku. Rumah usang yang baru kudiami beberapa hari, penuh bersawang, menunggu untuk dibersihkan oleh aku sebelum keluargaku datang bertandang. Mungkin esok, mungkin lusa akan aku bersihkan rumah usang ini. Aku tertarik dengan reka bentuk pintu rumah usang ini. Unsur tradisional dan klasik masih dikekalkan di bahagian pintu. Tegap berdiri melindungi aku bersama struktur-struktur yang lain. Bahkan bila diketuk pun, pintu itu tidak akan sedikit pun pintu itu bergoyang. Sungguh hebat masyarakat dahulu kala dalam senibina.



Tika aku berada di antara dunia nyata dan khayalan, aku tersentak apabila pintu rumah usang itu untuk pertama kalinya bergegar. Digoncang kuat. Mungkin kerenah kawan-kawanku yang datang cuba untuk menakut-nakutkan aku. Malam pertama aku tanpa keriuhan teman-teman aku di rumah usang itu. Tika pintu itu masih digoncang, lantas aku bangun untuk membukanya, memberi laluan kepada teman-temanku untuk masuk. Tetapi, ku lihat tiada sesiapa di luar. Mungkin mereka menyorok. Pintu ditutup kembali, cuba untuk membiarkan teman-temanku mengganggu aku dari luar tanpa aku benarkan masuk. Aku tersenyum memikirkan gelagat mereka.



Aku cuba untuk menyambung kehidupanku di dunia khayalanku. Tatkala itu juga pintu digoncang untuk kali kedua. Aku biarkan sahaja pintu itu digoncang. Tetapi, makin lama, makin kuat pintu itu digoncang. Cubaan oleh teman-temanku untuk menakutkan aku menimbulkan rasa marah bagiku. Hari sudah lewat malam, bunyi bising boleh mengganggu ketenteraman jiran-jiranku. Lantas aku bangun dan mencapai sebatang kayu dari sudut rumah usang itu untuk cuba menakutkan teman-temanku, juga untuk keselamatanku. Mungkin bukan teman-temanku yang datang, tetapi mungkin anasir-anasir luar yang cuba untuk menceroboh kediamanku. Pintu dibuka, kayu dipegang erat, tetapi tidak kelihatan kelibat sesiapa di luar. Malah, tidak kedengaran bunyi tapak kaki yang laju melarikan diri. Padahal, pintu dibuka sebaik sahaja ia berhenti digoncang. Aku mula merasa pelik. Hembusan angin yang perlahan tidak mungkin boleh menggoncang pintu yang teguh. Aku cuba berfikiran positif, walaupun perasan takut mula melanda aku. Cepat-cepat aku kembali ke tilam ku.



Lagu yang ku dengar dikuatkan lagi bunyinya. Perasaan takut dan risau menguasai aku. Tatkala itu juga pintu digoncang untuk kali ketiga. Makin lama dan kuat goncangannya. Cuba untuk dibiarkan tetapi ia tetap menggangu aku. Aku nekad untuk bangun dan membuka pintu. Tidak akan aku biarkan orang yang mengganggu aku. Aku nekad. Aku bangun dan memegang tombol pintu yang masih bergoncang itu, kayu dipegang erat untuk keselamatan aku. Lalu aku nekad membuka pintu dan kayu sebesar lengan aku itu cuba dihayun. Tetapi perkara yang sama tetap berlaku. Masih tidak kelihatan sesiapa di luar walhal pintu dibuka tatkala ia masih bergoncang. Terus aku menutup pintu, dikunci dari atas ke bawah, dan aku berlari anak ke tilamku. Masakan tidak kelihatan sesiapa di luar padahal pintu dibuka tatkala ia masih bergoncang. Mata ditutup erat, fikiranku cuba ditumpukan pada lagu yang ku dengar, dan tatkala itu juga pintu digoncang untuk kali keempat. Aku biarkan sahaja, cuba untuk melelapkan mata aku dengan paksaan. Peluh mula membasahi aku.



Aku membuka mataku dek silau mentari pagi, lantas aku teringat kejadian semalam. Aku tertidur dengan sendiri. Badanku penat bagaikan aku telah berlari mengelilingi padang berkali-kali. Padahal aku tidak melakukan apa-apa aktiviti yang memenatkan. Aku pelik, siapa yang mengganggu aku semalam? Petang itu juga, tuan rumah datang bertandang bertanyakan khabar aku dan rumah usang itu. Saat itu juga aku bertanyakan tuan rumah tentang rumah usang yang baru kudiami. Saat itu juga, aku tahu rumah usang itu punya sejarahnya tersendiri. Sejarah yang kian dilupakan oleh masyarakat sekeliling. Tetapi aku masih tidak percaya dengan apa yang diceritakan. Bagi aku, mungkin ada penjelasan realistik untuk apa yang terjadi. Bersambung…( Rumah Usang 2)

Friday, December 31, 2010

Indah di Mata, Nyata di Hati

"Indah", satu perkataan yang subjektif, bagaikan tiada kata-kata lain yang mampu untuk memberikan definisi khusus kepada perkataan tersebut. Hanya pengalaman setiap manusia yang mampu mentafsir maksud sebenar. Setiap orang mempunyai definisi masing-masing, berteraskan pengalaman masing-masing dan ia menjadi satu impian bagi setiap manusia untuk menjalankan sisa-sisa hidup dengan penuh keindahan seperti yang dirancang, tanpa sebarang cacat dan cela. Mungkin, sesetengah memandang kekayaan hidup sebagai satu keindahan, namun mungkin juga ia diperhatikan dari sudut pandangan berlawanan, tatkala ia mampu membawa keburukan kepada mereka yang kaya. Tamak, kedekut, kejam, semuanya sifat buruk yang mampu lahir daripada kekayaan dunia. Tepuk dada, tanya selera.

Friday, June 18, 2010

Berani Mencuba

Tatkala mataku masih segar melilau meliar mencari di manakah puncanya kepada kepayahan untuknya menutup pandangan dari terus terdedah kepada cahaya indah kurniaan Tuhan, aku sendiri masih bingung memikirkan apa yang telah terjadi dengan kehidupan yang dirancang dengan penuh harapan tertadah oleh keluargaku sedangkan aku sendiri menjadi mangsa kepada pembangunan dunia yang kian hilang penghujungnya. Perjalananku masih jauh, namun mentalitiku masih meyakinkan bahawa semua ini kian mendekati penghujungnya.

Aku hanya seorang insan biasa, yang mudah rebah dengan godaan, mudah lalai dengan keasyikan dunia, namun aku tetap seorang insan yang masih berpotensi untuk bangun kembali. Bagiku, tidak kira sejauh mana kegagalan yang datang menerpa, aku masih mempunya pilihan untuk bangkit kembali seperti seorang pahlawan, atau sekadar membiarkan semua itu menjadi sejarah yang akan mengajar aku erti kematangan.

Perjalanan hidupku yang telah diharapkan lurus tanpa sebarang persimpangan oleh orang yang berpenat lelah dan sanggup menyeksakan diri untuk melahirkan aku yang hina ini telah aku tukarkan kepada satu jalan yang penuh dengan persimpangan. Aku tahu, persimpangan itu kabur untuk aku lalui sedangkan jalan yang terbentang lurus masih tersedia untuk aku teruskan tetapi lumrah manusia iaitu perasaan ingin tahu.

Aku memilih untuk mencuba perkara yang baru disebalik meneruskan apa yang telah tersedia. Mungkin itu satu pilihan yang membawa kepada kerugian kepada diri aku, tetapi mungkin juga ia sesuatu yang baru yang boleh membimbing aku ke jalan yang lain. Tiada siapa yang tahu akan ketentuan Illahi. Namun aku nekad meneruskan apa yang telah aku mulakan. Kehidupan punya batasanya, namun pengalaman hidup tidak mengenal erti batasan. Kian bertambah mengikut masa, bagaikan tiada apa yang dapat menghentikannya.

Bagi aku, tidak ada ruginya bagi aku sendiri untuk mencuba yang baru. Mungkin ia membawa kerugian yang akan mematangkan hidup aku sendiri, mungin juga ia akan menjadi satu kebaikan kepada diri aku sendiri.

Pilihan di tangan aku sendiri untuk aku teruskan kehidupan aku dan aku percaya, tiada satu langkah yang aku buat adalah kesilapan, tetapi sesuatu yang akan mengajar aku erti kehidupan, untuk mendewasakan diri aku yang masih lapuk dengan pengalaman sebenar hidup, pengalaman yang ditimba sendiri, bukan diberi. Manusia tidak boleh lari dari melakukan kesilapan, begitu juga aku. Hanya diri sendiri yang akan menentukan samada kesilapan itu bakal diulang, atau bakal diganti dengan sebaliknya.

Kesimpulannya, aku perlu lebih berani untuk mencuba.

Saturday, April 25, 2009

Pelajaran dan Masa Depan

Sesuatu yang sinonim, tetapi jikalau ianya adalah satu pilihan? Yang mana akan dipilih?

Sunday, October 19, 2008

Diari Sang Pari-Pari

Salam sejahtera semua...

Diari sang pari-pari. Sedarkah kita, tatkala Malaysia sedang direvolusikan oleh propaganda manusia yang punya kepentingan diri, tatkala industri musik di Malaysia kian kehilangan kestabilannya, tatkala rakyat kita leka dengan keegoan yang lahir dari jarak pemisah antara 2 sudut pandangan yang melanggar hukum alam, lahir insan-insan yang cuba untuk menjauhkan diri dari dunia ini dengan mengalihkan minda mereka ke tempat lain lalu tubuh mereka dijadikan boneka oleh minda yang berjauhan..

Bila dituturkan nama-nama yang tidak terkenal di seantero dunia seperti joe wengg, tuck, sema, junk, bone, kay, pop 8, dan lain-lain yang punya naluri sama, hanya yang mengenali mereka punya tanggapan berbeza yang boleh diterima akal dan boleh diabaikan oleh penerima. Tapi apa pula tanggapan mereka yang tidak mengenali manusia-manusia seperti mereka?Mungkinkah masih dengan ideologi kolot hasil warisan dunia kuno mereka? Mungkin benar manusia seperti mereka bersalah terhadap diri dan negara, tetapi wajarkah mereka dikatakan bersalah dengan masyarakat sekeliling? Wajarkah mereka dipersalahkan oleh orang-orang yang sama sekali tidak mengenali mereka sedangkan mereka memperjuangkan satu benda yang sama, KEBEBASAN MINDA DAN FIZIKAL.

Kita punya hak untuk hidup bebas. Undang-undang memang patut dipatuhi, tetapi pernahkah kita terfikir sebelum wujudnya perlembagaan persekutuan, apa rujukan perundangan mereka? Adakah tercatat di dalam sejarah mereka yang kehidupan yang diamalkan manusia seperti mereka menyusahkan masyarakat sekeliling?Walhal merekalah penyumbang terbesar kepada KEAMANAN, KEMAJUAN, dan KEBEBASAN..

Tidak pernah dipinta untuk dilahirkan sebegitu, akan tetapi, mereka pemangkin kepada dunia peperangan ini. Kebebasan yang ditetapkan undang-undang tetap tidak dapat dilaksanakan, dengan cengkaman kuasa-kuasa besar. Satu cara alternatif yang wajar digunakan adalah dengan menjadi pari-pari di alam ciptaan sendiri. Kenikmatan untuk terbang bebas di dunia sendiri wujud di dalam jiwa sang pari-pari.

Fikir-fikirkanlah, manusia memberontak kerana terlampau dikongkong, kebebasan yang diberikan disalahguna. Sang pari-pari tetap masih mampu terbang bebas di dunia ini, dengan jiwa yang tenang.

*p/s = stress ngan exam!!babeng btol..sapa yg faham aku yg aku post ni, faham la. Yang tak faham, fikir-fikirkanlah maksudnya..tersirat di sebalik tersurat....

Lepak

"Lepak, satu masalah di kalangan remaja zaman sekarang yang melanda Negara kita,Malaysia yang boleh menjadi sebab kepada masalah jenayah terutamanya dan perlu dibasmi", berdasarkan pandangan masyarakat. Sejauh mana perkara seperti ini benar? Pandangan mereka berasas tetapi adakah berdasarkan pandangan yang adil, yang tidak berat sebelah? Adakah pandangan mereka tidak tidak mendiskriminasikan umur dan zaman? Adakah ia berasaskan emosi akibat kejadian yang terjadi terhadap mereka semata-mata, bukan satu pandangan yang mengambil kira semua aspek? Adakah kerana ingin mengelakkan dari berlakunya jenayah?

Ya, dakwaan mereka betul, TETAPI ideologi masyarakat kita yang tercemar dengan pengaruh satu hala membuatkan dakwaan seperti ini timbul. Budaya lepak tidak sama sekali menjadi penyebab utama kerosakan akhlak dan moral remaja sekarang. Aku setuju dengan dakwaan aku sendiri kerana bagi aku, budaya lepak tidak harus disekat kerana beberapa sebab.



Masyarakat kita yang bodoh mendakwa lepak membuatkan remaja kita hidup tanpa ada sesuatu yang berfaedah untuk dilakukan dan sering menyebabkan mereka melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Pandangan dari mereka yang berfikiran CETEK. Yang selalu kita lihat dan baca, remaja yang menyalahi undang-undang berpunca dari budaya lepak. Berita-berita sebegini sering disiarkan media. Tetapi BELUM pernah disiarkan tentang kejayaan remaja-remaja yang berpunca dari budaya lepak. Tidak perlu disediakan contoh kerana terlalu ramai di Negara kita berjaya bermulanya dengan lepak. Cuba anda fikir, remaja, bila berkumpul, apa yang dibincangkan. Terlalu banyak topik yang dibincangkan dan setiap topik yang dibincangkan pasti akan menyumbangkan IDEA untuk mereka melakukan sesuatu tidak kira baik atau buruk dan juga untuk meMAJUkan mereka.Ini kerana mereka saling menyebarkan sesuatu perkara yang mungkin tidak diketahui sesama mereka. Terlampau banyak idea yang dihasilkan untuk dilakukan cuma masa tidak mengizinkan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang dibincangkan. Tanpa idea-idea seperti ini, di mana kejayaan Negara kita?



Untuk membasmi jenayah? Hanya untuk mengaburi mata masyarakat. Manusia, makin disekat, makin menjadi. Terlampau dikongkong, melahirkan jiwa-jiwa pemberontak. Semakin banyak masalah timbul. Tanpa kita sedar, mereka yang melepak sehingga lewat malam menyumbang dalam mencegah jenayah seperti kecurian dan rogol. Dengan adanya mereka, sedikit sebanyak kejadian-kejadian yang tidak diingini boleh dicegah. Adakah kita berani untuk melakukan kesalahan seperti pecah rumah jika terdapatnya mereka yang sedang lepak dan berkemungkinan sedar dengan kehadiran kita?Tepuk dada tanya selera.



Pandangan golongan tua terhadap budaya lepak pastinya negatif. Zaman sudah berubah, kita tidak lagi hidup di zaman mereka. Maka, cara perjalanan hidup pun pasti berlainan. Golongan tua masih mempunyai keinginan untuk melihat anak-anak muda punya kehidupan seperti mereka sedangkan mereka sedar zaman sekarang tidak sama lagi dengan zaman dahulu. Gaya hidup sudah berubah. Tidak ada gunanya untuk menyekat anak muda daripada terus dengan cara hidup sekarang, dengan perjuangan mereka sendiri. Golongan tua juga mahu anak-anak muda hidup seperti mereka, bekerja, berkeluarga dan lain-lain. Walhal mereka juga punya kehidupan sama ketika muda.

Memang benar mereka sayangkan anak mereka, tetapi hidup yang terlampau diatur tidak akan memastikan hidup yang matang di masa depan. Tiada masalah bermakna tiada pengalaman yang boleh mematangkan mereka. Kehidupan yang dibina sendiri lebih elok dengan pelbagai pengalaman yang mematangkan hidup anak muda.



Aku bukan berniat untuk menggalakkan budaya lepak di kalangan remaja, tetapi, kita perlu mengubah sedikit persepsi kita terhadap perkara-perkara yang lazimnya dianggap negatif oleh masyarakat. Setiap yang baik ada buruknya dan begitu juga sebaliknya. Fikir-fikirkanlah.

Kanan v Kiri

"Pembangkang atau golongan bersayap kiri adalah mereka yang sengaja nak pecah-belahkan orang lain kerana ego yang menguasai ingin melihat orang lain hidup dengan cara si pembangkang".Pernah aku dengar seorang insan yang berfikiran sempit mengatakan perkara ini dengan bersungguh-sungguh.KARUT!!..



Apa guna pembangkang?
Untuk mebangkang..

Kenapa?
Untuk mempertahankan hak sendiri daripada dicabul oleh orang lain yang tidak sepatutnya dan melahirkan rasa tidak puas hati atas hidup yang sedia ada diatur oleh orang lain..

Untuk apa?

Demi mencapai matlamat untuk menjadikan hidup yang sedia ada lebih sempurna.

Kebaikan?

Dengan adanya pembangkang yang membangkang sesuatu perkara, orang yang dibangkang pasti akan mempertahankan apa yang dibangkang dan secara tidak langsung, perkara yang dibangkang akan dipastikan lebih sempurna oleh orang dibangkang dan si pembangkang sendiri..Ini akan mencetuskan pelbagai idea-idea baru dan menyumbang kepada kemajuan manusia itu sendiri..Sebagai contoh, PAS memang dikenali sebagai parti pembangkang. Parti ini membangkang parti UMNO dari segi pemerintahannya. Maka, parti UMNO telah melakukan pelbagai perkara seperti meningkatkan kemajuan infrastruktur negara untuk memastikan apa yang dibangkang adalah salah dan untuk memastikan mereka mendapat undi rakyat. Begitu juga dengan parti PAS, untuk memastikan apa yang dibangkang adalah betul, mereka juga melakukan perkara yang sama seperti UMNO dengan tujuan yang sama. Kedua-dua belah pihak secara tidak langsung telah membantu dalam memajukan negara dan rakyat itu sendiri.


Kesimpulan?

Dunia ini perlu ada pembangkang sebagai pengimbang. Kita membangkang secara aman, bukan memberontak. Membangkang dan memberontak adalah tidak sama. Tetapi, bak kata Joe Weng, melayu sekarang hanya 'tunggu dan lihat', bukan 'bergerak dan lihat'. Orang kita sendiri lebih suka lepas tangan akan sesuatu perkara. Bagi mereka, mereka tidak perlu memikirkan tentang semua ini kerana bukan tugas mereka. Yang penting, mereka hidup aman. KARUT!!..Impikan kehidupan sempurna tetapi dengan mengharapkan orang lain untuk menyediakan semuanya. Kita merdeka kerana adanya golongan-golongan yang membangkang penjajah. Mereka memberontak pun selepas apa yang dibangkang tidak diterima dan mereka tahu tujuan sebenar penjajah yang ingin mengambil kesempatan ke atas bumi kita. Sampai bila kita akan terus merdeka jika perangai rakyat kita masih belum berubah? Sentiasa berfikiran negatif dan suka lepas tangan?Fikir-fikirkanlah..