Wednesday, June 11, 2008

OKU

Aku tertarik untuk menulis coretan ini apabila aku terpandang gelagat dua orang kanak-kanak yang sedang leka bermain bersama-sama. Gelak ketawa yang diselangi dengan jeritan pertengkaran si adik dan kakak membuatkan aku teringin untuk kembali semula ke zaman kanak-kanak aku. Tetapi, hati aku hiba melihat mereka kerana aku tahu, kedua-dua adik beradik ini tergolong dalam golongan orang kurang upaya. Hatiku bertambah hiba dan sakit tatkala melihat mereka diejek budak-budak nakal.Mereka adalah mangsa kepada penyakit syndrome down, tetapi semua itu adalah ketentuan dari Tuhan.

Aku pernah hidup berjiran dengan keluarga kanak-kanak itu. Aku tahu, hanya mereka berdua puteri yang dikurniakan oleh Tuhan kepada keluarga mereka. Lega hatiku apabila aku tahu kehidupan mereka terjaga oleh ibu bapa mereka. Tapi apabila fikiran aku mula melayang jauh, aku terfikir, bagaimana kehidupan mereka tanpa ibu bapa mereka nanti? Mereka telah dilahirkan ke dunia ini tanpa kebolehan untuk merancang dan meneruskan kehidupan mereka tanpa bantuan daripada mereka yang mampu. Mereka tidak punya kebolehan untuk menjadi seperti kanak-kanak normal lain. Akal fikiran mereka adalah jauh lebih muda dari umur mereka sendiri. Mereka mampu untuk gembira, sedih, dan marah. Tetapi, adakah mereka mampu untuk berfikiran seperti manusia normal lain? Mereka juga kadang-kadang masih tidak mampu untuk membezakan yang betul atau salah, yang baik atau buruk. Bagiku, aku lebih rela untuk melihat mereka tiada di dunia ini, bukan kerana aku tidak dapat menerima mereka dalam masyarakat moden ini, tetapi aku tidak rela untuk melihat mereka terseksa dengan hidup mereka yang bagaikan terasing dari masyarakat sekeliling.

Walaupun masih ramai insan-insan yang lahir tidak sempurna, masih terlalu ramai manusia yang sempurna memandang remeh perkara seperti ini. Masih terlalu ramai manusia yang tidak pernah mempunyai keinginan untuk mengambil berat akan insan-insan kurang upaya. Mereka alpa dengan dunia mereka sendiri, ego dengan kurniaan Tuhan kepada mereka yang hanya sementara. Bahkan masih ada yang sanggup untuk memandang rendah dan mengejek insan-insan kurang upaya ini. Kata mereka, insan-insan seperti ini hanyalah beban kepada mereka, beban kepada masyarakat, beban kepada dunia. Namun, bagiku, insan-insan kurang upaya ini begitu istimewa. Mereka tabah dalam mengharungi hidup mereka. Suci daripada dosa. Tidak seperti manusia normal, yang mudah berputus asa, hidup diselubungi dengan dosa-dosa lampau. Tidak pernah terfikir oleh mereka bagaimana rasanya lahir tidak normal. Alangkah amannya dunia ini jika semua manusia mampu berfikir, tahu bagaimana rasanya menjadi manusia yang tidak normal, kurang upaya. Maka, tidak akan ada mereka yang terbiar, dianiaya, dicemuh dan diejek.

Tidak pernah dipinta oleh mereka untuk lahir seperti itu, tidak pernah juga diminta sesiapa. Tetapi, ketentuan dari Tuhan tidak siapa dapat mengubahnya. Hanya kita sebagai hambaNya perlu menerima dengan seadanya. Hanya kita, manusia yang normal mampu membantu dalam hidup mereka. Jangan biarkan mereka teraniaya dan terbiar.