Friday, June 18, 2010

Berani Mencuba

Tatkala mataku masih segar melilau meliar mencari di manakah puncanya kepada kepayahan untuknya menutup pandangan dari terus terdedah kepada cahaya indah kurniaan Tuhan, aku sendiri masih bingung memikirkan apa yang telah terjadi dengan kehidupan yang dirancang dengan penuh harapan tertadah oleh keluargaku sedangkan aku sendiri menjadi mangsa kepada pembangunan dunia yang kian hilang penghujungnya. Perjalananku masih jauh, namun mentalitiku masih meyakinkan bahawa semua ini kian mendekati penghujungnya.

Aku hanya seorang insan biasa, yang mudah rebah dengan godaan, mudah lalai dengan keasyikan dunia, namun aku tetap seorang insan yang masih berpotensi untuk bangun kembali. Bagiku, tidak kira sejauh mana kegagalan yang datang menerpa, aku masih mempunya pilihan untuk bangkit kembali seperti seorang pahlawan, atau sekadar membiarkan semua itu menjadi sejarah yang akan mengajar aku erti kematangan.

Perjalanan hidupku yang telah diharapkan lurus tanpa sebarang persimpangan oleh orang yang berpenat lelah dan sanggup menyeksakan diri untuk melahirkan aku yang hina ini telah aku tukarkan kepada satu jalan yang penuh dengan persimpangan. Aku tahu, persimpangan itu kabur untuk aku lalui sedangkan jalan yang terbentang lurus masih tersedia untuk aku teruskan tetapi lumrah manusia iaitu perasaan ingin tahu.

Aku memilih untuk mencuba perkara yang baru disebalik meneruskan apa yang telah tersedia. Mungkin itu satu pilihan yang membawa kepada kerugian kepada diri aku, tetapi mungkin juga ia sesuatu yang baru yang boleh membimbing aku ke jalan yang lain. Tiada siapa yang tahu akan ketentuan Illahi. Namun aku nekad meneruskan apa yang telah aku mulakan. Kehidupan punya batasanya, namun pengalaman hidup tidak mengenal erti batasan. Kian bertambah mengikut masa, bagaikan tiada apa yang dapat menghentikannya.

Bagi aku, tidak ada ruginya bagi aku sendiri untuk mencuba yang baru. Mungkin ia membawa kerugian yang akan mematangkan hidup aku sendiri, mungin juga ia akan menjadi satu kebaikan kepada diri aku sendiri.

Pilihan di tangan aku sendiri untuk aku teruskan kehidupan aku dan aku percaya, tiada satu langkah yang aku buat adalah kesilapan, tetapi sesuatu yang akan mengajar aku erti kehidupan, untuk mendewasakan diri aku yang masih lapuk dengan pengalaman sebenar hidup, pengalaman yang ditimba sendiri, bukan diberi. Manusia tidak boleh lari dari melakukan kesilapan, begitu juga aku. Hanya diri sendiri yang akan menentukan samada kesilapan itu bakal diulang, atau bakal diganti dengan sebaliknya.

Kesimpulannya, aku perlu lebih berani untuk mencuba.