Monday, December 10, 2012

Rumah Usang 1





Dingin malam yang sunyi ditemani hembusan angin yang menghembus perlahan bagaikan teman yang rapat kepada aku. Asyik aku dengan dunia digital ini tatkala aku cuba untuk meneruskan hidup aku di dunia khayalan dengan mendengar lagu-lagu indah hasil karya agung si pencipta lagu. Aku bagaikan berada di dunia yang lain, dengan mimpi-mimpiku bagaikan direalisasikan oleh khayalan yang dicipta oleh mindaku.



Tatkala aku asyik dengan lamunanku, pandanganku dilempar jauh ke sekeliling. Tatkala itu juga aku sedar bahawa aku sendirian di rumah usang bertemankan tilam, bantal, dan selimutku. Rumah usang yang baru kudiami beberapa hari, penuh bersawang, menunggu untuk dibersihkan oleh aku sebelum keluargaku datang bertandang. Mungkin esok, mungkin lusa akan aku bersihkan rumah usang ini. Aku tertarik dengan reka bentuk pintu rumah usang ini. Unsur tradisional dan klasik masih dikekalkan di bahagian pintu. Tegap berdiri melindungi aku bersama struktur-struktur yang lain. Bahkan bila diketuk pun, pintu itu tidak akan sedikit pun pintu itu bergoyang. Sungguh hebat masyarakat dahulu kala dalam senibina.



Tika aku berada di antara dunia nyata dan khayalan, aku tersentak apabila pintu rumah usang itu untuk pertama kalinya bergegar. Digoncang kuat. Mungkin kerenah kawan-kawanku yang datang cuba untuk menakut-nakutkan aku. Malam pertama aku tanpa keriuhan teman-teman aku di rumah usang itu. Tika pintu itu masih digoncang, lantas aku bangun untuk membukanya, memberi laluan kepada teman-temanku untuk masuk. Tetapi, ku lihat tiada sesiapa di luar. Mungkin mereka menyorok. Pintu ditutup kembali, cuba untuk membiarkan teman-temanku mengganggu aku dari luar tanpa aku benarkan masuk. Aku tersenyum memikirkan gelagat mereka.



Aku cuba untuk menyambung kehidupanku di dunia khayalanku. Tatkala itu juga pintu digoncang untuk kali kedua. Aku biarkan sahaja pintu itu digoncang. Tetapi, makin lama, makin kuat pintu itu digoncang. Cubaan oleh teman-temanku untuk menakutkan aku menimbulkan rasa marah bagiku. Hari sudah lewat malam, bunyi bising boleh mengganggu ketenteraman jiran-jiranku. Lantas aku bangun dan mencapai sebatang kayu dari sudut rumah usang itu untuk cuba menakutkan teman-temanku, juga untuk keselamatanku. Mungkin bukan teman-temanku yang datang, tetapi mungkin anasir-anasir luar yang cuba untuk menceroboh kediamanku. Pintu dibuka, kayu dipegang erat, tetapi tidak kelihatan kelibat sesiapa di luar. Malah, tidak kedengaran bunyi tapak kaki yang laju melarikan diri. Padahal, pintu dibuka sebaik sahaja ia berhenti digoncang. Aku mula merasa pelik. Hembusan angin yang perlahan tidak mungkin boleh menggoncang pintu yang teguh. Aku cuba berfikiran positif, walaupun perasan takut mula melanda aku. Cepat-cepat aku kembali ke tilam ku.



Lagu yang ku dengar dikuatkan lagi bunyinya. Perasaan takut dan risau menguasai aku. Tatkala itu juga pintu digoncang untuk kali ketiga. Makin lama dan kuat goncangannya. Cuba untuk dibiarkan tetapi ia tetap menggangu aku. Aku nekad untuk bangun dan membuka pintu. Tidak akan aku biarkan orang yang mengganggu aku. Aku nekad. Aku bangun dan memegang tombol pintu yang masih bergoncang itu, kayu dipegang erat untuk keselamatan aku. Lalu aku nekad membuka pintu dan kayu sebesar lengan aku itu cuba dihayun. Tetapi perkara yang sama tetap berlaku. Masih tidak kelihatan sesiapa di luar walhal pintu dibuka tatkala ia masih bergoncang. Terus aku menutup pintu, dikunci dari atas ke bawah, dan aku berlari anak ke tilamku. Masakan tidak kelihatan sesiapa di luar padahal pintu dibuka tatkala ia masih bergoncang. Mata ditutup erat, fikiranku cuba ditumpukan pada lagu yang ku dengar, dan tatkala itu juga pintu digoncang untuk kali keempat. Aku biarkan sahaja, cuba untuk melelapkan mata aku dengan paksaan. Peluh mula membasahi aku.



Aku membuka mataku dek silau mentari pagi, lantas aku teringat kejadian semalam. Aku tertidur dengan sendiri. Badanku penat bagaikan aku telah berlari mengelilingi padang berkali-kali. Padahal aku tidak melakukan apa-apa aktiviti yang memenatkan. Aku pelik, siapa yang mengganggu aku semalam? Petang itu juga, tuan rumah datang bertandang bertanyakan khabar aku dan rumah usang itu. Saat itu juga aku bertanyakan tuan rumah tentang rumah usang yang baru kudiami. Saat itu juga, aku tahu rumah usang itu punya sejarahnya tersendiri. Sejarah yang kian dilupakan oleh masyarakat sekeliling. Tetapi aku masih tidak percaya dengan apa yang diceritakan. Bagi aku, mungkin ada penjelasan realistik untuk apa yang terjadi. Bersambung…( Rumah Usang 2)